Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bahan bukti bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan ugutan diterima ahli parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu perlu sebelum tindakan selanjutnya dilakukan termasuk membuat laporan polis.

"Kita sedang kumpul maklumat kerana kita ambil gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.

"(Buat) laporan polis, tapi kita juga tahu ini jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini mengenai dakwaan seorang ahli parlimen PN diugut supaya menyokong kerajaan.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengugut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong kerajaan atau menghadapi pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta ketua pembangkang itu menunjukkan bukti jika benar dakwaan itu.

HAMZAH (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat PN. FOTO Aziah Azmee
HAMZAH (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat PN. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 4:54 PM