Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Pelaksanaan operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk memastikan mereka mendapatkan dokumen sah bagi program vaksinasi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak boleh memberi vaksin Covid-19 kepada individu yang tidak mempunyai identiti serta tidak mempunyai dokumen sah.

"Apabila saya umumkan operasi tangkapan Pati secara besar-besaran, ada pihak membuat kenyataan media memaklumkan bahawa pekerja migran yang tidak mempunyai dokumen tidak patut ditahan.

"Kita tidak boleh memberi vaksin kepada orang yang tidak ada dokumen kerana setiap pendaftaran (program vaksinansi) perlu ada identiti individu berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Depot Imigresen Sementara Millenium Beranang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang berhubung kedudukan Pati dalam mendapatkan suntikan vaksin.

Hamzah berkata, tindakan menahan Pati adalah bagi memastikan golongan itu turut menerima vaksin bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

"Kalau kita tidak tahan mereka, adakah mereka akan keluar (untuk menerima vaksin). Disebabkan itu, kita perlu tahan mereka dan tanya sama ada mereka ada majikan atau sebaliknya.

"Selepas itu, kita akan bekerjasama dengan majikan dan pergi ke kedutaan warga asing itu bagi mendapatkan dokumen sah sebelum mendaftar mereka menerima vaksin," katanya.

Beliau turut mempelawa Ahli Parlimen serta Adun berkaitan supaya membantu menaja Pati yang ditahan tanpa dokumen serta majikan bagi memudahkan urusan mendapatkan dokumen sah mereka.

"Ahli Parlimen dan Adun yang memperjuangkan Pati ini diminta 'sponsor' (taja) golongan ini dan bawa jumpa kita (JIM) supaya dapat dibawa ke kedutaan masing-masing untuk diberi dokumen sah untuk daftar suntikan vaksin.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk rakyat dan matlamat kita adalah untuk mendapatkan imuniti kelompok. Jadi, saya pastikan mereka yang tidak ada dokumen juga menerima vaksin," katanya.

Terdahulu, media melaporkan 16 Ahli Parlimen dan Adun pembangkang menggesa kerajaan membuat ketetapan jelas mengenai kedudukan Pati dalam usaha mereka mendapatkan suntikan vaksin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad (kiri) melawat Depot Imigresen Sementara Millennium Beranang , Kampung Kuala Pajam, Beranang. FOTO AZIAH AZMEE
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad (kiri) melawat Depot Imigresen Sementara Millennium Beranang , Kampung Kuala Pajam, Beranang. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:45 PM