Farah Marshita Abdul Patah dan Nuratikah Athilya Hassan

Serdang: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon terbaik untuk menggantikannya di Parlimen Jasin.

Bagaimanapun penyandang kerusi Parlimen Jasin itu berkata, beliau berharap supaya calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) didominasi oleh golongan muda.

"Kalau layak itu ramai, semua orang layak, tapi kita yakin pemimpin atasan mempunyai kriteria pemilihan.

"Tapi kalau boleh kali ini biarlah banyak orang muda yang bertenaga kerana kita nak bekerja, membina sebuah negara yang beorentasikan kepada kemajuan," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) 2022, di sini, hari ini.

Ahmad, 74, pertama kali dipilih sebagai calon mewakili BN pada PRU 1995 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dan dicalonkan semula pada PRU 1999 dan 2004.

AHMAD ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) 2022. FOTO Aziah Azmee
AHMAD ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Hari Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) 2022. FOTO Aziah Azmee

Pada PRU 2008, beliau dicalonkan pula di kerusi Parlimen Jasin selama tiga penggal sehingga PRU-14.

Pada PRU itu, beliau menang dengan majoriti 219 undi selepas memperoleh 26,560 undi dan menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Khairudin Abu Hasan daripada PKR yang mendapat 26,341 undi manakala Abd Alim Shapie (PAS) 8,860 undi.

Menurutnya, menjadi calon pada PRU-15 adalah perkara yang mencabar.

"Selain mempunyai kepakaran dan kebolehan, kita perlu meletakkan calon yang sanggup berjuang dan bukan sekadar untuk cari makan.

"Politik adalah tempat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bukannya bersenang-lenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 12:53 PM