DOMINIC, gambar fail. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DOMINIC, gambar fail. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dakwaan perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, PN tidak berpecah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Katanya, ini disebabkan dalam setiap mesyuarat Majlis Tertinggi PN, pandangan, cadangan dan keputusan akan dibuat secara bersama.

"Contohnya ketika menjadi pembangkang, kita mesti melantik Ketua. Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin tak nak jadi Ketua Pembangkang, (patut bagi wakil) Pas untuk menjadi Ketua Pembangkang.

"Tetapi Pas mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang. Saya tak nampak ada isu perpecahan dalam PN.

"Memang ada pandangan yang berlainan (tetapi) kita bincang. Selepas perbincangan, berkongsi pandangan dan adanya keputusan, ia akan kita ikuti," katanya dalam satu pertemuan bersama media di ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa Bersatu kini mempunyai dua kem.

Syed Abu Hussin mendedahkan, dua kem berkenaan adalah yang menyokong Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden parti itu.

Sementara, satu kem lagi untuk mengekalkan Presiden sedia ada, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Dominic turut mengulas mengenai adakah sokongan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan PN menjadi lemah.

"Mana-mana parti atau gabungan, ada kekuatan diri sendiri dan kelemahannya. Tidak lama lagi, kita akan ada satu konvensyen PN untuk wakil rakyat.

"Kita akan bincang apakah kekuatan termasuk kelemahan," katanya.

Dalam pada itu, Dominic berkata, parti Gerakan yang dipimpinnya masih lagi relevan berdasarkan sokongan undi rakyat terhadap PN yang semakin meningkat.

"Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan enam PRN, saya nampak sokongan undi yang kita dapat sudah meningkat. Ini tanda kita relevan," katanya.

Menyentuh mengenai pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau 'State-Goverment 4 '(SG4), Dominic berkata, ia ternyata tidak sembang kosong.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negeri ditadbir oleh pembangkang.

"Beliau memanggil mesyuarat dan empat kerajaan negeri beri pembentangan kepada pelabur.

"Jadi, beliau memang benar-benar bawa pelabur masuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:38 PM