Ahmad Hasbi


Nilai: Ikrar muatan dadah pil ekstasi sebagai mesin untuk dieksport dari Eropah ke Malaysia.

Itu taktik digunakan rangkaian sindiket dadah antarabangsa yang ditumpas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hasil rampasan 269.75 kilogram (kg) pil ekstasi dianggarkan bernilai RM19.8 juta pada 20 Oktober lalu.

Kejayaan itu hasil tindakan anggota Cawangan Narkotik dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (Cobra) mengesan lokasi sindiket di kawasan Damansara, Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, dua lelaki warga tempatan turut ditahan ketika serbuan bersama kotak kayu mengandungi dadah berkenaan diletakkan dalam lori.

"Bertindak atas maklumat, pasukan daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama pasukan Cobra menahan dua lelaki berusia 44 dan 57 tahun di sebuah stesen minyak di Damansara, Selangor kira-kira jam 9.30 malam.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori suspek, kami menjumpai dua kotak kayu berisi guni yang mengandungi sejumlah pil ekstasi jenis MDMA.

"Berat kasar dadah dirampas adalah 269.75 kg. Nilai anggaran rampasan adalah RM19.8 juta. Turut disita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah lori," katanya tadi..

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan menyorokkan bahan disyaki dadah di dalam dua kotak kayu yang diikrarkan sebagai mesin.

"Siasatan awal mendapati dagangan ini masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah dan transit melalui sebuah negara di Timur Tengah sebelum tiba di Malaysia sebagai destinasi akhir.

"Hasil penemuan awal di kargo ketibaan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membolehkan pasukan membuat perancangan satu operasi khas penghantaran terkawal membawa kepada penahanan suspek kes ini," katanya.

Dalam pada itu, Sazali berkata pihaknya berjaya mematahkan satu lagi sindiket dadah dalam dua serbuan pada 11 dan 13 Oktober lalu dengan merampas 101.05 kg dadah dianggarkan bernilai RM5.73 juta.

"Kira-kira jam 4.30 petang 11 Oktober lalu, kami menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun di belakang premis yang terletak di Petaling Jaya, Selangor bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai empat kotak mengandungi ketulan mampat berwarna putih yang mengandungi dadah jenis Ketamine.

"Berat kasar dadah yang dirampas adalah 91.05 kilogram. Nilai anggaran rampasan adalah RM5.4 juta," katanya.

Tambah beliau, susulan itu, pihaknya berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine pada 13 Oktober dengan penahanan satu dagangan di Kompleks Kargo KLIA yang dialamatkan ke Petaling Jaya.

"Hasil pemeriksaan ke atas dagangan terbabit mendapati sebuah kotak yang mengandungi ketulan mampat yang berwarna puth kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine yang disorok di dalam paket makanan anjing.

"Berat kasar dadah yang dirampas adalah 10 kg dan nilai anggaran rampasan adalah RM 330,000. Modus operandi adalah adalah dengan menyorokkan dadah berkenaan ke dalam paket makanan anjing dan dialamatkan ke rumah tidak berpenghuni.

"Siasatan awal mendapati dagangan ini dimport melalui laluan udara dari negara Eropah dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:43 PM
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad (tengah) menunjukkan rampasan dadah seberat 370.8 kilogram bernilai RM25.5 juta. FOTO AZRUL EDHAM
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad (tengah) menunjukkan rampasan dadah seberat 370.8 kilogram bernilai RM25.5 juta. FOTO AZRUL EDHAM