SOFFIAN (tiga dari kiri) pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkifli
SOFFIAN (tiga dari kiri) pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkifli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis membongkar sindiket memproses pelbagai jenis dadah di negeri ini dengan rampasan dan sitaan bernilai RM64,669 susulan penahanan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Georgetown dan Bukit Mertajam di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek pertama berusia 22 tahun ditahan pada 9.15 malam di sini, dan merampas sebanyak 10 peket plastik berwarna oren berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dianggar seberat 108 gram.

"Hasil siasatan lanjut, polis menahan suspek kedua berusia 28 tahun di sebuah kondominium di Bukit Mertajam pada 11.40 malam, hari sama.

"Polis merampas sebanyak 200 peket plastik berwarna warni mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 4.3 kilogram dan dua peket plastik mengandungi serbuk dadah disyaki ketamin seberat 1.93 gram.

"Turut dirampas 10 biji pil disyaki ekstasi dan 20 pil Eramin 5, "katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di sini, hari ini.

Soffian berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal Januari tahun lalu bagi pasaran tempatan.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dijual di pusat hiburan dan boleh digunakan 1,090 penagih dadah jika berjaya dipasarkan.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah dan suspek kedua mempunyai rekod lampau berkait jenayah termasuk judi.

"Suspek pertama yang bertindak sebagai pembekal dadah dan masih bujang direman selama enam hari sehingga 29 Jun manakala suspek kedua seorang penganggur pula direman selama tujuh hari sehingga 30 Jun ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita kereta, jongkong emas dan barangan kemas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, Soffian berkata, antara 1 Januari hingga 31 Mei lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut sudah menahan 1,599 individu berkait dengan dadah.

"Daripada jumlah itu, seramai 355 daripadanya terbabit dengan bekalan, memiliki (540), berkait akta racun (117), penagih (578) dan sembilan bagi Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 4:36 PM