Ahmad Hasbi


Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah ke negara ini apabila merampas 232.05 kilogram (kg) 3,4- Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan bernilai RM17 juta.

Rampasan pada 18 Julai lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor itu adalah yang terbesar setakat ini membabitkan dadah terbabit.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, sindiket mengisytiharkan dadah itu sebagai aksesori kereta selain menggunakan dokumen palsu bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membabitkan MDMA dan ketamin pada 18 Julai lalu.

"Kami menyita 18 kotak di Kompleks Kargo Udara KLIA, jam 6 petang," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 12 kotak mengandungi bungkusan plastik berisi dadah terbabit.

Turut ditemui satu kotak mengandungi ketamin seberat 20.55kg dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

"Pemeriksaan ke atas baki lima kotak menemukan cakera brek kereta.

"Taktik sindiket ialah dengan mengikrarkan barang dagangan sebagai aksesori kereta," katanya.

Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati, dadah itu datang dari sebuah negara Eropah dan mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir.

"Sindiket menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan dan ia menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport.

"Bagaimanapun, siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, MDMA adalah bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan pil ekstasi dan berdasarkan jumlah beratnya, ia mampu menghasilkan 1.5 tan pil untuk pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 2:22 PM
ZAZULI Johan menunjukkan dadah MDMA dan ketamin yang dirampas di Kompleks Kargo Udara, KLIA, Sepang, pada 18 Julai lalu. FOTO Ahmad Hasbi
ZAZULI Johan menunjukkan dadah MDMA dan ketamin yang dirampas di Kompleks Kargo Udara, KLIA, Sepang, pada 18 Julai lalu. FOTO Ahmad Hasbi