SAZALI (tengah) bersama pegawai JKDM menunjukkan dadah yang dirampas selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.  FOTO Azrul Edham.
SAZALI (tengah) bersama pegawai JKDM menunjukkan dadah yang dirampas selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa. FOTO Azrul Edham.
Ahmad Hasbi


Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas 269.75 kilogram (kg) pil ekstasi dianggar bernilai RM19.8 juta.

Barang larangan itu diseludup menerusi lori yang diikrar sebagai muatan mesin, dikesan pada 20 Okt lalu hasil siasatan dokumen 'waybill' sebelum serbuan dilakukan Cawangan Narkotik dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (Cobra).

Lokasi sindiket itu kemudiannya dikesan di kawasan Damansara, Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, dua lelaki warga tempatan turut ditahan, bersama kotak kayu yang mengandungi dadah berkenaan.

"Mereka yang berusia 44 dan 57 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Damansara, Selangor pada 9.30 malam, dan pemeriksaan ke atas lori menjumpai kotak kayu yang disorokkan dalam guni, mengandungi sejumlah pil ekstasi jenis MDMA.

"Berat kasar dadah yang dirampas adalah 269.75 kg. Nilai anggaran rampasan adalah RM19.8 juta. Turut disita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah lori," katanya pada sidang media, hari ini.

Sazali berkata, bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket menggunakan modus operandi dengan mengikrar muatan yang dibawa sebagai mesin dan siasatan awal mendapati barang dibawa masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah.

"Barang terlarang ini transit melalui sebuah negara di Timur Tengah sebelum tiba di Malaysia sebagai destinasi akhir," katanya.

Beliau berkata, penemuan awal kargo mencurigakan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membolehkan pasukan merancang operasi khas itu yang membawa kepada penahanan suspek.

Dalam pada itu, katanya, JKDM juga berjaya mematahkan satu lagi sindiket dadah menerusi dua serbuan pada 11 dan 13 Okt lalu serta merampas 101.05 kg dadah bernilai RM5.73 juta.

Menurutnya, penahanan pertama pada 4.30 petang 11 Okt, yang menahan lelaki warga tempatan berusia 42 tahun di Petaling Jaya, Selangor.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dibawanya menjumpai empat kotak mengandungi ketulan mampat dipercayai dadah jenis ketamin seberat 91.05kg, bernilai anggaran RM5.4 juta," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya berjaya merampas sejumlah Methamphetamine pada 13 Okt dengan penahanan satu dagangan di Kompleks Kargo KLIA yang dialamatkan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Petaling Jaya.

"Hasil pemeriksaan ke atas dagangan terbabit mendapati kotak yang mengandungi ketulan mampat dadah itu disorokkan di dalam peket makanan anjing.

"Berat kasar dadah yang dirampas adalah 10kg dan nilai anggaran rampasan adalah RM 330,000," katanya yang menambah, barang terlarang itu juga diimport dari Eropah dengan Malaysia sebagai destinasi akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 12:18 PM