ABANG Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoA di antara Kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group Berhad mengenai pengambilalihan saham dalam MASwings Sdn Bhd oleh Kerajaan Sarawak. FOTO Bernama
ABANG Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoA di antara Kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group Berhad mengenai pengambilalihan saham dalam MASwings Sdn Bhd oleh Kerajaan Sarawak. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Syarikat penerbangan yang akan ditubuhkan kerajaan Sarawak merancang untuk mengadakan penerbangan jarak jauh dalam rantau Asia apabila penubuhannya menjadi kenyataan selepas urusan pengambilalihan MASwings selesai.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johaei Abang Openg berkata, Maswings ketika ini hanya menyediakan penerbangan di dalam Borneo sahaja namun apabila kerajaan Sarawak mengambil alih pengurusannya, sasaran utama adalah mengadakan penerbangan jarak jauh yang mengambil masa enam hingga tujuh jam.

Menurutnya, selain penerbangan ke Semenanjung, antara destinasi jarak jauh yang dirancang termasuk Korea, Jepun, Hong Kong, India serta salah satu destinasi di Australia.

"Apabila kita mengambil alih MASwings, destinasi penerbangan kita mestilah terbang di luar Borneo.

"Semua destinasi (di luar Malaysia) yang kita rancang itu mengambil masa penerbangan antara enam hingga tujuh jam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengambilalihan saham dalam MASwings oleh syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abang Johari berkata, susulan MoU itu, perbincangan lanjut akan dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia serta pemilik MASwings, Khazanah Nasional Berhad.

Menurutnya, pengambilalihan itu perlu disegerakan dan beliau memberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikannya.

"Kalau boleh, tahun depan sudah terbang (penerbangan milik Sarawak mula beroperasi)," katanya.

Terdahulu ketika berucap, beliau memberi jaminan syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu akan mengutamakan perkhidmatan awam berbanding keuntungan.

Beliau berkata, visi utama syarikat penerbangan itu adalah untuk fokus serantau syarikat penerbangan itu dan peranannya dalam meningkatkan pengangkutan infrastruktur untuk Sabah dan Sarawak.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa syarikat penerbangan ini tidak akan menjadi syarikat penerbangan yang besar. Ia akan menjadi sebuah syarikat penerbangan butik yang menyediakan laluan serantau," katanya.

Menurutnya, beliau meletakkan dua syarat penting untuk mengambil alih MASwings, iaitu tidak boleh terbang hanya di Borneo tetapi mestilah kawasan serantau dan syarat kedua kita tidak boleh memberi terlalu banyak penekanan pada keuntungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 7:32 PM