PESAWAT MASWings. FOTO Bernama
PESAWAT MASWings. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching : Kerajaan Sarawak bersedia mengambil alih syarikat penerbangan MASwings untuk dijadikan sebagai syarikat penerbangan butik milik negeri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, rundingan lanjut sedang dijalankan dengan Kerajaan Persekutuan bagi melengkapkan pengambilalihan syarikat terbabit.

Abang Johari berkata, secara prinsipnya kerajaan Sarawak sudah bersetuju untuk mengambil alih operasi MASwings.

"Sudah ada perkembangan positif dalam rundingan untuk kita mengambil alih MASwings dan kami bersedia ke arah itu" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Kontrak Bagi Operasi Miri antara Hornbill Skyways Sdn Bhd (HSSB) dengan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) di Raia Hotel & Convention Centre, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, turut dirunding dengan Kerajaan Persekutuan ialah rancangan kerajaan Sarawak untuk mengoperasikan syarikat penerbangan butik di luar Borneo.

Ini kerana katanya, MASwings hanya mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak.

"Kita mahu syarikat penerbangan butik milik kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan penerbangan antara wilayah kerana matlamat penubuhan syarikat itu adalah untuk menstabilkan harga tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Borneo.

"Ketika ini MASwings tidak menyediakan penerbangan ke Kuala Lumpur atau Singapura sedangkan kita mahu menyediakan penerbangan dari Borneo ke wilayah Semenanjung," katanya.

MASwings adalah syarikat penerbangan serantau yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan di Sabah dan Sarawak.

Syarikat berkenaan mengambil alih laluan yang dikendalikan oleh FlyAsianXpress dan penerbangan RAS oleh Malaysia Airlines pada 2007.

Pada 17 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah kos tiket penerbangan yang tinggi antara Semenanjung ke Sarawak dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 2:29 PM