GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching : Rundingan pengambilalihan saham syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd antara Kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad berjalan lancar dan dijangka mencapai keputusan tidak lama lagi

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pengambilalihan saham syarikat itu ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengendalikan syarikat penerbangan sendiri.

Menurutnya, kerajaan Sarawak menerima tawaran itu bagi meningkatkan lagi perkhidmatan penerbangan bukan sahaja domestik tetapi juga penerbangan antara wilayah.

"Kita (kerajaan Sarawak) ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih MASwings daripada Khazanah Nasional Berhad.

"Bagaimanapun, kerajaan Sarawak menetapkan dua syarat untuk pengambilalihan itu iaitu MASwings tiada liabiliti atau hutang dan MASwings dibenarkan menyediakan perkhidmatan antara wilayah iaitu penerbangan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung bukan sekadar perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) Oleh Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dua timbalan Premier iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Alice Jawan Empaling bagi pihak kerajaan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Jana Santhiran Muniayan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, keuntungan bukan keutamaan pihaknya menerima tawaran untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu.

"Paling utama ialah perkhidmatan yang kita sediakan untuk rakyat menerusi RAS selain akan membantu usaha untuk menstabilkan harga tiket penerbangan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah," katanya.

Sementara itu, mengenai MoU yang dimeterai hari ini, Loke berkata, adalah bagi memudah cara usaha kerajaan Sarawak mengambil alih RAS daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, menerusi MoU itu juga, Kerajaan Persekutuan meneruskan komitmen pemberian subsidi berjumlah RM210 juta setahun bagi membolehkan perkhidmatan RAS terus dinikmati oleh penduduk pedalaman di Sarawak dan Sabah.

"Menerusi MoU itu, subsidi diteruskan sehingga 2024 dan apabila kerajaan Sarawak sah mengambilalih MASwings nanti subsidi itu akan diteruskan," katanya.

Loke turut memberi jaminan rundingan pengambilalihan saham MASwings itu akan dipercepatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 6:09 PM