Muhammad Nur Hakim Ahmad Zailani boleh membuat pelbagai jenis kerja kampung walaupun baru berusia 13 tahun. FOTO Ihsan NURZATUL ASMYDA AHMAD ZAILANI
Muhammad Nur Hakim Ahmad Zailani boleh membuat pelbagai jenis kerja kampung walaupun baru berusia 13 tahun. FOTO Ihsan NURZATUL ASMYDA AHMAD ZAILANI
Redzuan Muharam


Taiping: "Nak 'lock' (kunci) jadi menantu sebab tahu anak saya mesti tak lapar bila dapat laki (suami) serba boleh,"

Itu salah satu komen usikan nakal diterima Nurzatul Asmyda Ahmad Zailani, 29, selepas memuat naik video adiknya, Muhammad Nur Hakim Ahmad Zailani, 13, yang serba boleh dalam melakukan kerja kampung.

Menerusi video itu, kelihatan Muhammad Nur Hakim mahir melakukan bermacam kerja antaranya mengemudi perahu, menjala ikan, mengikat ketam, ambil upah memotong rumput, mengait buah kelapa sawit dan memancing.

Perkongsian membuatkan ramai netizen kagum kerana Muhammad Nur Hakim tidak seperti remaja seusianya yang banyak menghabiskan masa dengan gajet.

Bercerita lanjut, Nurzatul Asmyda yang menetap di Batu 7, Changkat Baru, Matang, di sini berkata, Muhammmad Nur Hakim adalah adiknya dan anak kesembilan daripada 10 beradik.

Menurut Nurzatul Asmyda, adiknya itu memang suka berdikari dan rajin menghabiskan masa dengan melakukan kerja kampung terutama ketika hujung minggu serta cuti sekolah.

"Adik saya memang rajin kerana kalau tak ikut ayah yang memandu lori, dia akan buat kerja kampung.

"Kerja rumah pun dia rajin buat malah emak tak perlu pergi pasar kerana adik ringan tulang dan jenis budak yang boleh disuruh.

"Kebiasaannya, saya yang akan menemaninya untuk pantau dan sambil itu ambil gambar juga videonya.

"Ikutkan, adik memang lasak malah di sekolah dia aktif bersukan tetapi kerja itu semua dilakukan pada hujung minggu saja jadi tak ganggu waktu persekolahannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurzatul Asmyda berkata, sebagai kakak, dia kagum melihat kebolehan adiknya walaupun orang luar mungkin menganggap ia perkara biasa.

"Disebabkan itu (kagum), saya muat naik videonya di TikTok kerana saja nak simpan untuk buat kenang-kenangan.

"Tak sangka video itu meraih tontonan tinggi dengan rata- ratanya memuji adik serta beri komen positif.

"Terima kasih atas kata semangat yang diberi dan diharap, adik dapat menjadi contoh kepada remaja seusia dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 9:58 PM