Nur Aqleema menangis di sisi mayat adiknya, Abu Hurairah Ameeruddin yang maut  dalam  kemalangan di  Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Paka awal pagi semalam.
Nur Aqleema menangis di sisi mayat adiknya, Abu Hurairah Ameeruddin yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Paka awal pagi semalam.

Dungun: “Sudah takdir adik pergi dalam keadaan begini, saya reda dengan kejadian ini,” kata Nur Aqleema Abd Karim, 18, selepas adiknya, Abu Hurairah Ameeruddin Abd Karim, 16, maut dalam kemalangan di Kilometer 97.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Paka, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, Abu Hurairah Ameeruddin maut di tempat kejadian apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh Perodua Myvi dipandu Mohamad Zulfazli Zohadi, 24.

Rempuhan kereta yang datang dari Paka ke Dungun itu menyebabkan mangsa melambung sehingga badannya terhentak dengan tiang lampu isyarat di persimpangan terbabit.

Nur Aqleema berkata, adiknya dikatakan baru habis bertugas di restoran makanan segera tidak jauh dari lokasi dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Limbong.

“Adik baru saja sebulan bekerja di restoran makanan segera berkenaan dan setiap hari saya hantar dan mengambilnya di tempat kerja.

“Petang tadi (kelmarin), dia tidak mahu dihantar kerana kasihankan saya yang terpaksa menghantar dan mengambilnya menyebabkannya menunggang sendiri motosikal ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, arwah adiknya itu baru menghabiskan pengajian di sekolah pondok di Jabi, Setiu sebelum bekerja di restoran makanan segera berkenaan.

“Sebelum minta kerja di restoran berkenaan memang dia ada meminta izin saya untuk bekerja bagi mencari duit belanja sementara dia mendapat kerja tetap.

“Dia tidak menunjukkan sebarang sikap luar biasa sebelum kejadian dan saya sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran bahawa adik saya terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Nur Aqleema berkata, pada mulanya dia menyangka adiknya itu hanya cedera ringan dalam kemalangan berkenaan, tetapi apabila ke tempat kejadian didapati jasad Abu Hurairah Ameeruddin ditutup plastik.

Menurutnya, ketika itu barulah dia tahu sangkaan adiknya cedera ringan ternyata meleset, tetapi sebenarnya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi, di sini, mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:31 AM