MUHAMMAD Nur Iman mengerah keringat melakukan kerja kampung untuk membantu keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Nur Iman Ibrahim
MUHAMMAD Nur Iman mengerah keringat melakukan kerja kampung untuk membantu keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Nur Iman Ibrahim
Redzuan Muharam


Tangkak: Ketika segelintir rakan sebaya menyambung pengajian di menara gading dan menikmati masa muda, Muhammad Nur Iman Ibrahim pula sibuk mengerah keringat dengan mengambil upah melakukan pelbagai kerja kampung.

Selain menyara diri, Muhammad Nur Iman, 23, melakukannya demi membantu meringankan beban ibu bapanya yang perlu menyara tujuh adik beradik lain masih bersekolah.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu berkata, antara kerja yang dilakukan adalah mengambil upah meracun rumput, memotong dan memunggah buah kelapa sawit dan membaja kebun.

Lantaran itu, Muhammad Nur Iman tiada pendapatan tetap dan bergantung kepada upah mengikut kerja dilakukan.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Nur Iman berkata, dia bersekolah setakat Tingkatan Tiga saja sebelum masuk ke Kolej Kemahiran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Kluang bagi mengikuti kursus pertanian.

Oleh kerana diserap ke kursus pendawai elektrik, Muhammad Nur Iman nekad berhenti kerana tidak minat sebelum melakukan kerja kampung sejak 2019.

"Sejak kecil lagi, ayah sudah ajak dan ajar buat kerja di kebun jadi memang terbiasa dengannya. Cuma dorongan untuk teruskan (kerja) datang selepas ayah diserang apendiks jadi saya bantu jaga kebun selain ambil upah buat kerja kampung.

"Lagipun, abang tak minat dan sudah kerja dalam bidang grafik manakala adik yang lain masih belajar jadi sayalah yang kena teruskan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Nur Iman, dia sedar pekerjaannya itu berat dan berisiko berdepan ancaman haiwan berbisa dan bahaya persekitaran.

Bagaimanapun, pemuda itu meneruskannya kerana minat dan kepuasan mendapat rezeki hasil titik peluh sendiri.

"Cabaran potong buah adalah 'bermain' dengan duri yang pernah saja kena di kepala saya. Pernah juga ternampak ular tedung kuning dan ular sawa, namun setakat ini tidak pernah dipatuk haiwan itu.

"Setiap kali nak pergi kerja saya niat nak cari rezeki dan amalkan baca doa Nabi Sulaiman AS untuk memohon perlindungan Allah SWT. Moga saya terus dijauhi daripada perkara buruk namun tak dapat elak juga daripada diperlekehkan segelintir mereka yang katakan saya macam warga asing kerana buat kerja kampung," katanya.

MUHAMMAD Nur Iman (kiri sekali) bersama keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Nur Iman Ibrahim
MUHAMMAD Nur Iman (kiri sekali) bersama keluarga. FOTO Ihsan Muhammad Nur Iman Ibrahim

Muhammad Nur Iman, dia ada juga membuat kolam ikan talapia dan belajar mengenainya dengan menonton video di Youtube.

Katanya, minat itu juga yang menyebabkan dia sanggup keluar seawal 4 pagi untuk menjaring ikan walaupun pernah diganggu makhluk halus.

"Selain itu, saya ada juga bercucuk tanam sampai orang kampung pun perasan dengan kata saya 'gila' kerana mencangkul sampai malam. Kalau fikirkan penat dan sakit itu sudah semestinya namun tak nak layan sangat kerana mahu bersusah dulu serta enggan sia-siakan usia muda.

"Lagipun, saya nak buktikan pada ayah yang saya juga mampu berjaya sekalipun tak ada rezeki belajar tinggi. Banyak lagi yang saya nak kecapi tapi syukur kerana sudah beli van dan lori dengan duit simpanan sendiri selain bawa adik berjalan untuk menggembirakan mereka," katanya yang tidak menyangka dapat perhatian di TikTok walaupun berkongsi video untuk suka-suka saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 4:26 PM