McDonald’s Malaysia mengunjungi Rumah Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor, Perak bagi meneruskan komitmennya untuk memberi keceriaan kepada 12,000 kanak-kanak dari 400 rumah kebajikan sempena Program Bulan Komuniti. - FOTO McDonald’s Malaysia
McDonald’s Malaysia mengunjungi Rumah Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor, Perak bagi meneruskan komitmennya untuk memberi keceriaan kepada 12,000 kanak-kanak dari 400 rumah kebajikan sempena Program Bulan Komuniti. - FOTO McDonald’s Malaysia
Nurshafika Suhaimi

Kuala Lumpur - McDonald's Malaysia terus mengukuhkan komitmen kemasyarakatannya dengan penganjuran Bulan Komuniti pada Oktober ini.

Ia adalah salah satu inisiatif kemasyarakatan di bawah Program Komuniti McDonald's dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia sejak tahun 2017, bertujuan mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat di sekitar lokasi operasi McDonald's.

Pengarah Urusan dan rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata program Komuniti McDonald's dan RMHC adalah payung besar bagi segenap aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan sepanjang tahun termasuk pelaksanaan Bulan Komuniti ini.

"Bulan Komuniti bakal memberi fokus utama terhadap golongan kanak-kanak kurang bernasib baik. Sehubungan itu, McDonald's Malaysia mengambil pendekatan melalui majlis sambutan hari jadi bagi menceriakan dan mencipta kenangan manis untuk anak-anak yatim. 

"Ini cara kami menyumbang kembali kepada masyarakat, yang sentiasa menyokong kami selama ini," katanya

Bulan Komuniti pertama kali dilaksanakan pada 2017 dan ia sarat dengan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Namun, selepas situasi pandemik yang bertambah baik pada 2021, McDonald's Malaysia memilih pendekatan menganjurkan majlis sambutan hari jadi bagi memastikan pelaksanaan aktiviti yang lebih berfokus dan berimpak besar untuk anak-anak yatim.

"Sambutan hari jadi adalah satu peristiwa yang sangat bermakna bagi diri seseorang. Setiap kali sambutan hari jadi diadakan, kami dapat lihat senyuman kegembiraan anak-anak yatim yang terlibat.

"Inilah yang menjadi motivasi kepada kami untuk meneruskan inisiatif ini dan anjuran sambutan hari jadi yang meriah merupakan kepakaran kami di McDonald's," katanya.

ImageDatuk Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia (tengah) bersama Puan Shamsidar Yahya, Pengarah Komunikasi Korporat, McDonald's Malaysia (kanan) menyampaikan sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah kepada 80 anak-anak Yayasan An-Nur Maisarah - FOTO McDonald's Malaysia

Majlis sambutan hari jadi yang diadakan di Yayasan An-Nur Maisarah di Chemor, Perak Rabu lalu adalah antara majlis sambutan hari jadi terawal yang dianjurkan bagi membuka tirai Bulan Komuniti McDonald's pada tahun ini.

Majlis sambutan hari jadi sebegini akan terus diadakan sehingga penghujung Oktober, sama ada di rumah kebajikan kanak-kanak atau di restoran McDonald's.

RMHC Malaysia turut menyokong pelaksanaan Bulan Komuniti tahun ini dengan pemberian Pek Kembali Ke Sekolah kepada anak-anak yatim.

Sebanyak 90 Pek Kembali Ke Sekolah disampaikan kepada anak-anak yatim di Yayasan An-Nur Maisarah.

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan An-Nur Maisarah Dr Fazillah Nordin, turut meluahkan rasa gembira apabila McDonald's Malaysia memilih Yayasan An-Nur Maisarah untuk menjayakan Bulan Komuniti mereka pada tahun ini.

"Ini kali pertama kami menjalin kerjasama dengan McDonald's Malaysia dan menyambut majlis hari jadi secara besar- besaran seperti ini.

"Kemeriahan jelas terasa dengan beberapa kek yang besar, dekorasi yang berwarna-warni dan ditambah pula dengan aktiviti permainan yang sangat menarik.

Sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah pula pastinya menjadikan mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah dengan kelengkapan persekolahan baru. Wajah gembira dan teruja anak-anak ini jelas kelihatan dan saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada McDonald's Malaysia, " katanya yang mesra dipanggil 'ibu' oleh anak-anak yatim di sini.

Sepanjang Oktober ini, McDonald's Malaysia akan memberi keceriaan kepada kanak-kanak melalui penganjuran majlis sambutan hari jadi membabitkan lebih 12,000 anak yatim dari 400 rumah kebajikan yang terpilih di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Sebagai kemuncak dan mengakhiri pelaksanaan Bulan Komuniti McDonald's tahun ini, buat pertama kalinya, McDonald's Malaysia akan menganjurkan Karnival Famili Mekdi yang menjadi acara terbuka untuk orang ramai dengan pelbagai aktiviti menarik.

Rumah-rumah kebajikan kanak-kanak terpilih juga dijemput untuk memeriahkan lagi karnival ini di beberapa lokasi iaitu perkarangan McDonald's Putrajaya pada 28 dan 29 Oktober, Penang Auto City pada 4 dan 5 November serta Mutiara Rini, Johor Bahru pada 10 dan 11 November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 12:13 PM