Muhammad Najmir Razaman

SHAH ALAM: McDonald's Malaysia baru-baru ini meluaskan inisiatif Misi Moreh Mekdi ke 20 universiti-universiti awam seluruh negara dengan menaja hidangan moreh untuk lebih dari 12,000 pelajar-pelajar yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadan ini. 

Memasuki tahun kesembilan, Misi Moreh Mekdi tahun ini dimulakan dengan pengagihan di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Ia adalah sebahagian daripada keseluruhan program Misi Moreh Mekdi selain dari tajaan hidangan moreh kepada komuniti di lebih 300 buah surau dan masjid sepanjang bulan Ramadan di sekitar kawasan operasi restoran McDonald's.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya, pihaknya sangat prihatin dan mengambil berat mengenai cabaran kehidupan pelajar di universiti. 

"Pelajar mungkin berdepan masalah seperti kekurangan belanja harian dan ada juga yang kesedihan saat berada jauh daripada keluarga sepanjang Ramadan. 

"Justeru, program seperti ini diharap dapat meringankan sedikit sebanyak beban pelajar terutama golongan memerlukan sekali gus mengukir senyuman di wajah mereka," katanya.

"Kami memahami keperluan para pelajar yang kurang berkemampuan dan diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka terutama ketika berjauhan dengan keluarga ketika ini," katanya.

Majlis ini juga adalah hasil kerjasama melalui program Titipan Kasih dengan kumpulan Harian Metro.

Selain itu, Shamsidar turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Titipan Kasih Harian Metro dan UiTM kerana sudi bekerjasama dengan kumpulan McDonald's Malaysia bagi menjayakan Misi Moreh Mekdi. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Misi Moreh Mekdi bersama Titian Kasih Harian Metro di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, 6 April lalu.

Bagi memeriahkan lagi acara ini, majlis gotong-royong menyediakan bubur lambuk dan hidangan berbuka puasa juga turut diadakan di kampus UiTM Shah Alam dengan disertai oleh sukarelawan dari McDonald's Malaysia, Harian Metro serta pelajar-pelajar UiTM.

Selain dari agihan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa, kotak rezeki yang mengandungi makanan asas dan keperluan harian turut juga disampaikan kepada pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan pelajar kurang upaya (OKU).

Bagi salah seorang penerima kotak rezeki kategori asnaf, Ayu Nur Aleesa Badrol Hisham, program yang jarang dianjurkan sebegini sememangnya memberikan kegembiraan buat pelajar-pelajar yang memerlukan sepertinya.

"Misi Moreh Mekdi ini adalah sebuah inisiatif yang sangat bagus. Pengagihan kotak rezeki yang menyediakan barang makanan dan keperluan seorang pelajar seperti mi segera, air kotak, biskut dan kurma sememangnya membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi kami," katanya.

Bagi penerima dari kategori OKU, Akmal Zahiruddin Shahrul Alimi pula, dia yang tidak dapat pulang ke kampung halaman Ramadan ini memanjatkan rasa syukur apabila dijemput menghadiri majlis Misi Moreh Mekdi ini.

"Memandangkan kami tidak dapat pulang dan berpuasa bersama keluarga, program sebegini sememangnya memberikan peluang untuk berterawih dan moreh bersama rakan-rakan dan memberikan pengalaman baharu buat semua yang terlibat," katanya.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Jaringan Alumni (ICAN), YBhg Prof. Dr Mohamad Hariri Abdullah, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Encik Husain Jahit, barisan pengurusan UiTM Shah Alam, Harian Metro dan McDonald's Malaysia serta para pelajar UiTM.

Inisiatif mendekati komuniti di sekitar lokasi operasi McDonald's yang boleh membawa impak positif kepada orang ramai menjadi nilai teras McDonald's Malaysia. 

Dengan peningkatan jumlah restoran saban tahun, 2022 adalah tahun kejayaan bagi McDonald's dengan pencapaian jumlah pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan paling banyak setakat ini iaitu lebih 19,000 program komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 4:24 PM