Muhammad Najmir Razaman

GEMAS: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia hari ini mengadakan majlis penyampaian sumbangan Pek Kembali Ke Sekolah yang bertempat di Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar, Negeri Sembilan.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan oleh RMHC Malaysia bagi menyediakan Pek Kembali Ke Sekolah yang diagihkan kepada kira-kira 25,000 kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara termasuk 260 pelajar SK (Felda) Pasir Besar.

Sementara itu, SK (Felda) Pasir Besar turut menerima dana biaya sebanyak RM15,000 sumbangan Yayasan Jaafar Ahmad bagi membiayai Kelab Pengekodan dan Robotik di bawah Program 'Felda Digital Maker Hub (FDMH): Coding and Robotic' yang bertujuan mentransformasikan pendidikan digital di sekolah-sekolah Felda. 

Yayasan yang ditubuhkan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, merangkap Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar ini bertujuan membantu golongan memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif-inisiatif bermanfaat demi kesejahteraan bersama. 

Nama yayasan ini diambil bersempena nama bapa beliau yang merupakan seorang peneroka di Felda Pasir Besar. 

Azmir berkata, sebagai anak peneroka Felda, beliau bertanggungjawab menyumbang bakti kepada anak-anak Felda.

"SK (Felda) Pasir Besar ialah tempat saya mula menimba ilmu ketika di bangku sekolah rendah. Jadi, saya amat terhutang budi kepada guru-guru yang banyak mendidik saya  ketika itu," katanya.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan itu adalah impiannya untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dan sebagai tanda terima kasih kepada sekolah yang pernah dihadirinya. 

"Semoga sumbangan yang disampaikan ini mampu menyuntik semangat untuk anak-anak Felda, sekali gus membolehkan mereka menjadi insan yang berjaya di masa hadapan," tambah Azmir. 

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Guru Besar SK (Felda) Pasir Besar Abdul Rahim Abdullah sambil disaksikan Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh.

RMHC menjalankan empat program utama bagi menyokong teras kesihatan, pendidikan dan kebajikan melalui inisiatif  seperti Rumah Ronald McDonald, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, "Gift of Smile" dan Pek Kembali Ke Sekolah.

Tahun ini, merupakan kali keenam program Pek Kembali Ke Sekolah diadakan dan pek ini sedang giat diagihkan secara berperingkat sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Mac ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, layari laman sesawang Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 5:55 PM