ZUKIFLI (dua dari kiri) bersama Rozieana (dua dari kanan) mendengar penerangan berkenaan projek pertanian hidroponik diusahakan remaja OKU PeSTeC daripada Nazmin (kiri). - FOTO Aizat Sharif
ZUKIFLI (dua dari kiri) bersama Rozieana (dua dari kanan) mendengar penerangan berkenaan projek pertanian hidroponik diusahakan remaja OKU PeSTeC daripada Nazmin (kiri). - FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

ARAU: Yayasan Petronas (YP) bakal memperluas inisiatif organisasi itu dalam pembangunan dan pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) agar lebih berdaya saing menerusi pemberian geran bantuan.

Ketua Wilayah Tengah dan Utara Petronas, Zukifli Othman berkata, penganugerahan geran kepada pusat yang membantu OKU ini penting terutama dalam memastikan golongan itu dapat belajar dan memahirkan kemahiran dalam suasana yang selesa dan kondusif.

"Kita gembira dapat menjayakan projek yang dikenal pasti sebagai pusat yang dapat membantu OKU dan ini adalah projek perintis YP untuk menaik taraf organisasi OKU di negara ini.

"Geran yang diberikan kepada pusat ini adalah menerusi inisiatif sentuhan ilmu yang dilihat mampu memberi peluang kepada pelajar golongan OKU di pusat ini untuk belajar dalam suasana yang lebih sesuai dan kondusif serta dalam erti kata lain lebih bebas untuk mereka.

"Jika projek perintis ini berjaya, kita akan mempertimbangkan untuk meluaskan inisiatif ini ke negeri lain dan itu adalah hasrat YP dan setakat ini Pusat Khas Remaja Perlis (PeSTeC) yang diletakkan di bawah pengurusan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kanak-Kanak Istimewa Perlis (PPDK-AnIPs) adalah projek perintis kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Yayasan Petronas kepada PeSTeC di Kampung Guring, Pauh, di sini pada Sabtu.

Katanya, penyerahan geran oleh pihaknya kepada PeSTeC itu merangkumi bantuan kewangan yang digunakan untuk pembangunan kanak-kanak OKU di pusat itu selain pembaikan dan pemulihan fasiliti seperti fasiliti pertanian hidroponik dan juga produk cendawan yang dihasilkan oleh pusat berkenaan.

"Kami berharap kemudahan yang dinaik taraf akan terus menyokong PeSTeC, dalam membantu kanak-kanak dan remaja OKU ini menyesuaikan diri dengan masyarakat dengan menyediakan mereka latihan kemahiran dan menyemai semangat berdikari.

"Kami juga berharap pemberian itu, akan membuka jalan kepada pusat ini untuk mendekati lebih ramai belia OKU yang memerlukan latihan khas dan paling penting, untuk memperkasakan mereka dan memastikan mereka tidak ketinggalan." Katanya.

Sementara itu, Pengerusi PeSTeC, Nazmin Abdullah berkata, pihaknya melihat geran YP ini sebagai sesuatu yang dapat membantu pembangunan kanak-kanak OKU di pusat berkenaan.

"Kita bermula sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kita tidak ada bantuan dari mana- mana sebelum ini sebelum dibangunkan menjadi suatu pusat pembangunan kanak-kanak OKU dan sebelum ini juga dari segi pembangunan infrastruktur, boleh saya katakan tidak ada.

"Sebelum ini, kita pernah beroperasi di lokasi lama iaitu di Taman Guar Halban, Jejawi namun kekangan ruang di premis itu menyebabkan kita agak susah untuk menjalankan satu program pembangunan kepada kanak-kanak OKU ini.

"Lantaran itu, kita memohon geran daripada YP untuk mewujudkan satu premis yang lebih besar, luas dan boleh kita usahakan aktiviti keusahawanan untuk OKU sebagai contoh aktiviti pertanian yang memerlukan kawasan agak luas dan di tempat lama kita beroperasi dahulu, memang agak mustahil aktiviti itu dapat dilakukan namun hasil geran YP ini mampu membantu anak OKU disini untuk melakukan aktiviti ini dengan lebih aktif," katanya.

Terdahulu, Zukifli bersama-sama dengan Nazmin dan Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh bersama-sama merasmikan rumah pertanian hidroponik yang diusahakan oleh PeSTeC sebagai tempat aktiviti pembangunan kanak-kanak dan remaja OKU di pusat itu.

Dengan sokongan tambahan, PeSTeC dapat menambah baik kemudahannya termasuk pengubahsuaian asas dan kelengkapan bilik darjah, dewan, ruang sakit, pejabat, bengkel pemprosesan makanan, gim luar, taman terapi mini dan tapak pertanian Kerja-kerja penambahbaikan disiapkan sepenuhnya dan beroperasi sejak Mei tahun ini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Negeri Perlis, Nurulhisham Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:45 PM