Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis merampas dadah jenis pil kuda dan heroin bernilai RM1.5 juta dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, di sini.

Rampasan membabitkan 96,000 biji pil kuda bernilai RM1.05 juta dan 230 botol heroin dengan berat 1,390.51 gram, berjumlah RM460,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata, dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand turut ditahan.

Katanya, dalam serbuan pertama, lelaki warga Thailand berusia 31 tahun, yang menunggang motosikal Modenas Kriss ditahan di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, jam 7.45 malam kelmarin.

Katanya, suspek didapati menyorokkan kesemua pil kuda berkenaan di dalam bungkusan toto atau cadar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Suspek dipercayai membawa masuk barangan terlarang ini untuk pasaran luar Kelantan, dan kesemua pil kuda itu boleh digunakan untuk 96,000 penagih.

"Suspek yang juga positif methamphetamine dipercayai memasuki negara secara sah melalui pas sempadan dengan membawa bungkusan toto untuk menyorok kegiatan tidak bermoral itu.

"Selain itu, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhammad Zaki berkata bagi serbuan kedua, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 41 serta 28 tahun juga warga Thailand ditahan di pangkalan haram Che Kassim, Rantau Panjang, 2.45 petang semalam.

Katanya, suspek turut menggunakan modus operandi yang sama dengan menyorok kesemua botol berisi heroin di dalam bungkusan toto bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, hasil risikan dan kecekapan anggota bertugas kedua-dua suspek yang juga penganggur ini ditahan. Kami turut merampas barang kemas serta wang tunai bernilai RM11,690.

"Hasil semakan kesemua heroin ini boleh digunakan oleh seramai 13,905 penagih dan kami mendapati barangan terlarang yang dibawa ini adalah untuk pasaran tempatan seluruh Kelantan," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 8 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 yang mana jika sabit kesalahan dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

MUHAMMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 3:48 PM