Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Taktik licik seorang lelaki membawa anak perempuan berusia lima tahun bagi mengaburi perbuatan terlarang gagal apabila dia ditahan polis di parkir sebuah pasar raya di Tanah Merah, petang semalam.

Serbuan jam 5.30 petang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai membawa kepada rampasan 48,000 biji pil kuda bernilai RM480,000.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Toyota Avanza dipandu lelaki warga Thailand berusia 28 tahun bersama anak perempuannya berusia lima tahun.

Menuruntya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan satu beg yang didalamnya mengandungi lapan bungkusan kekuningan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu didalamnya mengandungi tiga bungkusan plastik cerah mengandungi 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000.

"Susulan rampasan berkenaan, polis turut menjalankan pemeriksaan lanjut di rumah suspek di Kampung Perupok, Bachok, namun tidak membabitkan sebarang rampasan.

"Polis turut merampas wang tunai RM440 dan merampas kenderaan suspek untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek, bekalan dadah terbabit diperoleh dari Thailand dan suspek juga mempunyai rangkaian di negara terbabit.

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jumlah rampasan dadah terbabit boleh digunakan seramai 24,000 orang penagih," katanya.

Katanya, tindakan suspek membawa anak kecil itu adalah sebahagian taktik bagi mengaburi perbuatan terlarang daripada dikesan pihak polis.

"Bagaimanapun, dengan pengalaman polis, sesiapa sahaja tidak akan terlepas walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik," katanya.

Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis pil kuda bernilai RM480,000,00 yang dirampas di tepi jalan di Perkarangan Parkir Pasaraya Pantai Timur, Kuala Krai dalam sebuah sebuah kereta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis pil kuda bernilai RM480,000,00 yang dirampas di tepi jalan di Perkarangan Parkir Pasaraya Pantai Timur, Kuala Krai dalam sebuah sebuah kereta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 5:15 PM