Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Baru sebulan keluar penjara kerana mengedar dadah, seorang bekas banduan tidak serik untuk meneruskan kegiatan itu dan sekali lagi ditahan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 42 tahun itu sebelum ini dihukum penjara 14 tahun di Penjara Songkla, Thailand.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menahan suspek di tepi jalan Kampung Dangar, Pasir Mas dekat sini pada 5 petang semalam bersama 48,000 biji pil kuda.

"Suspek sedang memegang beg galas warna merah jambu di tangan kanan apabila cuba melarikan diri ketika dihampiri pihak berkuasa.

"Berlaku pergelutan sebelum dia diberkas dan pemeriksaan dalam beg menemui satu bungkusan plastik hijau yang mengandungi lapan bungkusan lain berisi 48,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM480,000," katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki menunjukkan rampasan dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Pangkal Kala, Kampung Bunut Susu dan Kampung Tal tujuh di Daerah Pasir Mas ketika sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki menunjukkan rampasan dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Pangkal Kala, Kampung Bunut Susu dan Kampung Tal tujuh di Daerah Pasir Mas ketika sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Muhamad Zaki berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Keroh Bayu Lalang, Pasir Mas tengah malam tadi dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai tokan dadah.

"Suspek pertama mengaku mendapatkan bekalan daripada tokan itu dan kami juga membuat sitaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Stream,

"Hasil ujian saringan kedua-duanya mendapati positif dadah jenis methampethamine dan mereka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menahan suami isteri, 59 dan 54 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pangkal Kala, Bunut Susu, Pasir Mas pada 5.30 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di rumah itu menemui 180 biji pil kuda, 45 gram (gm) heroin dan 1.0 gm syabu dianggarkan RM21,000.

Menurutnya, ketika serbuan suspek lelaki memegang tiga botol lutsinar berisi dadah disyaki heroin.

"Kami turut menyita wang tunai RM5,000 yang dipercayai hasil jualan dadah, seutas rantai leher, tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin serta Proton Wira," katanya sambil memberitahu suspek lelaki memiliki empat rekod lampau bersabit dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 5:48 PM