Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis merampas 100 botol dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM200,000 dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang, dekat sini.

Serbuan pada awal pagi Jumaat lalu itu turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai pengedar dadah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika serbuan pada jam 2.36 pagi itu, suspek yang juga seorang buruh sedang minum di premis berkenaan.

"Kami menjumpai satu plastik hitam di pegangan tangan kiri suspek yang mengandungi 100 botol heroin seberat 546.4 gram dan dianggarkan bernilai RM200,000.

"Kita percayai dadah itu dibawa masuk dari negara jiran memandangkan lokasi serbuan adalah berhampiran dengan sempadan dan dipasarkan sekitar Kelantan.

"Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis morfin namun tidak memiliki rekod lampau," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam satu lagi serbuan di Kampung Repek, Pasir Mas, sebanyak 2,000 pil kuda dijumpai di bawah tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta.

Rampasan yang dibuat pada jam 5.06 pagi Khamis lalu di hadapan sebuah rumah itu membawa kepada penahanan buruh berusia 34 tahun yang memiliki empat rekod lampau.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui satu bungkusan plastik yang berisi 10 peket plastik biru mengandungi 2,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM20,000.

"Turut dirampas adalah wang tunai bernilai RM650 yang dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang tiga hari Op Tapis Sempadan dijalankan iaitu bermula 21 Julai hingga semalam, seramai 34 individu ditahan.

"Dalam operasi yang dibuat di beberapa daerah yang bersempadan dengan negara jiran itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM230,165 turut dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:58 PM