Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Seorang penganggur ditahan kerana dipercayai memiliki lima kilogram (kg) dadah jenis syabu, 10 biji pil psikotropik dan tujuh biji pil kuda bernilai RM180,270 di Jalan Wakaf Che Yeh, Mukin Padang Enggang, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 57 tahun ditahan pada 12.06 tengah malam selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, sebaik mendekati suspek dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, anggota membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan sebelum menemui plastik yang berisi dadah berkenaan di dalam poket seluar suspek.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta Proton Preve dipercayai milik suspek dan menjumpai bungkusan plastik berwarna merah di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat lima kg.

"Tangkapan terbabit dilakukan susulan penahanan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 40 tahun ketika serbuan pertama di Kampung Tasek Berangan, Repek, Pasir Mas pada 9 malam, Isnin lalu.

"Kesemua dadah dirampas dan kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Muhamad Zaki berkata, kesemua dadah yang dirampas didapati boleh digunakan untuk 50,027 penagih.

"Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Methampethamine selain masing-masing mempunyai lapan dan tujuh kes jenayah lampau juga membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 sehingga 8 Ogos bagi siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, wang tunai bernilai RM5,360 dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah turut dirampas termasuk sebuah kereta Honda Civic dan motosikal SYM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 3:08 PM