Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi berusia 23 tahun ditahan bersama 24,000 pil kuda dalam serbuan di rumahnya di Gunong, Bachok dekat sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dibuat oleh sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 6.45 petang dan pihaknya menemukan botol plastik mengandungi 12 bungkusan di luar rumah.

Menurutnya, di dalam bungkusan itu terdapat bungkusan kertas kekuningan 10 plastik warna biru yang mengandungi 24,000 pil disyaki dadah jenis pil kuda.

"Kesemua pil kuda dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM240,000

"Turut disita lori jenis Hicom, dua Perodua Kancil dan motosikal jenis Honda CB150R dengan keseluruhan nilai berjumlah RM60,000," katanya.

DATUK Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan di dua kawasan di Gunong, Bachok dan Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan rampasan di dua kawasan di Gunong, Bachok dan Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata, berdasarkan risikan yang dibuat, suspek terbabit dengan kumpulan tertentu yang aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dan aktif sejak setahun lalu.

"Kita sedang membuat siasatan lanjut berhubung serbuan ini kerana percaya ada lagi rangkaian yang terbabit dengan kegiatan pengedaran ini.

"Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati suspek negatif dadah dan penuntut itu juga tiada sebarang rekod lampau.

"Dia ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori," katanya.

Beliau berkata, untuk sepanjang tahun ini sebanyak 9,678 kes narkotik dicatatkan dengan 12,181 tangkapan membabitkan RM53 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 12:30 PM