FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi

Kuching: DAP menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, 4 November depan.

Pengerusi DAP Cawangan Jepak Tonny Ung berkata, senario politik Sarawak berbeza dengan peringkat kebangsaan kerana Kerajaan Perpaduan tidak dibentuk di peringkat wilayah.

Justeru katanya, sebagai pembangkang bersama Amanah dan DAP di dalam Pakatan Harapan (PH) di Sarawak, PKR harus menyuburkan demokrasi dengan memberikan peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan menerusi peti undi.

"Selain itu, dalam memastikan semak dan imbang di DUN Sarawak, kita tidak harus membiarkan Sarawak diperintah dengan mutlak oleh satu parti sahaja iaitu Gabungan Parti Sarawsk (GPS).

"Politik Sarawak memang stabil namun masalah utama adalah kita kekurangan semak dan imbang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berikutan kemenangan GPS di 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dan selepas cadangan penggabungan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), jumlah pembangkang di DUN Sarawak kini hanya tinggal dua iaitu wakil DAP sahaja.

"Ini menjejaskan peranan pembangkang yang amat penting di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan dan amalan demokrasi.

"Tanpa semak dan imbang yang kuat, sesebuah kerajaan boleh menjadi korup serta angkuh dalam pentadbiran mereka" katanya.

Pada Selasa lalu PKR Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Jepak.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak yang juga Ketua Penerangan PH Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, keputusan itu diambil kerana pihaknya tidak mahu menjejaskan hubungan PKR dan GPS di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, komponen PH lain bebas membuat keputusan masing-masing dalam soal pencalonan di PRK Jepak.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandang DUN itu, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan penyakit kencing manis.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Jepak diadakan pada 4 November dengan 21 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 3:03 PM