TAN Sri Abang Johari Tun Openg ketika majlis konvokesyen Swinburne University of Technology, Kampus Sarawak, hari ini. FOTO Bernama
TAN Sri Abang Johari Tun Openg ketika majlis konvokesyen Swinburne University of Technology, Kampus Sarawak, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus berteka-teki mengenai calon yang akan dinamakan gabungan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata calon yang akan mempertahankan kerusi itu akan diumumkan sama ada esok atau Khamis ini.

"Kita tunggu pengumuman mungkin esok atau lusa… beliau (calon) seorang lelaki," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Swinburne University of Technology di sini hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, Abang Johari berkata beberapa individu sudah dikenal pasti sebagai calon kerusi berkenaan, namun gabungan itu akan memastikan calon yang bakal bertanding bersih daripada sebarang rekod jenayah dan rasuah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Jepak pada 4 November ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.

PRK Dun Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 4:51 PM