Menara SPR di Putrajaya. FOTO Bernama
Menara SPR di Putrajaya. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak, Sarawak pada Isnin depan.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dun Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan luar jangka kerusi N67 Jepak.

Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, ia memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan, katanya.

Ikmalrudin berkata mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan.

Kekosongan kerusi Dun Jepak itu berlaku ekoran kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 September lalu.

Allahyarham ialah penyandang kerusi Dun Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 2:07 PM