Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Ibarat pepatah 'jerat tidak pernah lupa pelanduk' dan tindakan pengurusan Masjid Pulau Sekati, di sini, memasang kamera litar tertutup (CCTV) akhirnya merungkai beberapa siri kejadian 'memancing' wang tabung masjid.

Pengerusi masjid berkenaan, Mohd@Rahsid Ismail, 73, berkata kejadian mencuri wang tabung pernah berlaku antara empat hingga lima kali di masjid berkenaan.

"Kita akan tahu wang cuba 'dipancing' apabila gam yang digunakan akan melekat pada wang apabila membuka tabung berkenaan.

"Sebelum memasang CCTV, kita hanya syak perbuatan itu dilakukan penduduk sekitar dan (pengurusan masjid) mengambil kata sepakat untuk memasang CCTV sekitar Mei lalu selepas beberapa siri kejadian kecurian wang tabung berlaku," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru pada Jun lalu, pihak masjid yang membuka tabung untuk memungut wang mendapati gam melekat pada sebahagian wang lalu melihat rakaman CCTV.

Katanya, pihaknya mengesan kelibat seorang lelaki sedang 'memancing' wang di dalam tabung lalu membuat laporan polis sebelum individu itu berjaya ditahan pihak berkuasa.

"Namun, kami pengurusan masjid terkilan dengan pelbagai lontaran negatif kononnya kami tidak membantu lelaki berkenaan sedangkan lelaki itu bukan penduduk kampung ini.

"Saya difahamkan lelaki itu tinggal di daerah lain. Kalau diikutkan untuk sampai ke masjid ini, dia akan menempuh banyak lagi masjid kerana jarak antara kampung lelaki itu dan kampung kami boleh dikatakan jauh juga.

"Satu lagi, orang ramai boleh menilai sendiri video yang menunjukkan lelaki itu sedang 'memancing' wang dalam tabung, sama ada niat mencuri atau mengambil untuk membeli keperluan harian," katanya.

Menurutnya, sekiranya dilihat pada kemahiran, lelaki itu seolah-olah mahir 'memancing'.

TANGAKAP layar seorang lelaki dirakam kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Pulau Sekati, sedang ‘memancing’ wang tabung masjid berkenaan. FOTO Ihsan Masjid Pulau Sekati
TANGAKAP layar seorang lelaki dirakam kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Pulau Sekati, sedang ‘memancing’ wang tabung masjid berkenaan. FOTO Ihsan Masjid Pulau Sekati

Katanya, justeru dia berharap orang ramai dan warga maya tidak membuat pelbagai tanggapan yang tidak sepatutnya kerana mengambil sesuatu yang bukan hak adalah salah.

"Masih banyak cara yang boleh diambil sekiranya terdesak sama ada datang terus dan meminta (bantuan), namun bukan dengan cara 'memancing' wang dalam tabung itu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tukang rumah berusia 45 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan mencuri duit tabung di sebuah masjid.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh jatuh hukuman.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan penyalahgunaan dadah di mahkamah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:47 PM