Omar Bakhtiar (dua kiri) menunjukkan peralatan digunakan suspek untuk mencuri wang dari tabung surau. FOTO Shahrin Ahmad Pauzi.
Omar Bakhtiar (dua kiri) menunjukkan peralatan digunakan suspek untuk mencuri wang dari tabung surau. FOTO Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TAKTIK seorang lelaki bersembunyi dalam tandas sebelum ‘memancing’ duit dari tabung masjid dan surau sekitar Bagan Serai dan Gunung Semanggol, akhirnya terbongkar apabila dia ditahan jemaah surau Al Falah, Parit Gabis Atas, Bagan Serai, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pihak pengurusan surau berkenaan pada jam 6.20 petang.

Terdahulu, pihak pengurusan surau menerima maklumat daripada penduduk kampung mengenai kehadiran suspek dilihat sedang mencungkil tabung berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang juga penduduk tempatan akan menunggang basikal ke masjid atau surau menjadi sasarannya.

“Suspek mengaku mencuri wang dari tabung 60 masjid dan surau sekitar daerah ini dan dia menjadikan premis tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sebagai sasaran utama,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, suspek menyorok dalam tandas masjid atau surau antara waktu Zohor, Asar dan Maghrib sebelum mula ‘memancing’ duit tabung menggunakan besi halus dilekatkan pita pelekat atau gam.

Katanya setakat ini suspek dipercayai terbabit dalam kecurian wang tabung di Masjid Kampung Tua (15 kes), Masjid Semanggol (15 kes), Masjid Telok Medan (12 kes) dan Surau Al Falah,Parit Gabis Atas (3 kes).

Omar Bakhtiar berkata, polis turut merampas beg pinggang, pemutar skru, gunting, pita pelekat dan wang tunai berjumlah RM47 daripada suspek.

“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 6:36 PM