Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN dua remaja lelaki ‘memancing’ duit tabung Masjid Al Redzuan di pusat bandar di Parit Buntar, mengundang padah apabila diberkas Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid dan pihak polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek berusia 17 tahun diberkas AJK masjid di Taman Linear, Jalan Temenggong, di sini pada 1.20 pagi, manakala rakannya berusia 20 tahun, ditahan pihak polis di hadapan restoran makanan segera di sini pada 1.30 pagi.

Katanya, terdahulu beberapa AJK masjid melakukan pemantauan bermula 12.30 tengah malam selepas banyak kes kecurian wang tabung masjid dilaporkan di sekitar Parit Buntar.

Menurutnya, pada 1.10 pagi mereka menyedari terdapat dua suspek mencurigakan menggunakan laluan kawasan tanah perkuburan berhampiran sebelum memasuki pekarangan masjid berkenaan.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja lelaki 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan, Parit Buntar. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja lelaki 'memancing' duit tabung Masjid Al Redzuan, Parit Buntar. FOTO Ihsan Pembaca

“Mereka melihat kedua-dua suspek menuju ke arah tabung yang berada di hadapan pintu masuk masjid sambil menjolok lidi ke dalam lubang tabung itu.

“Berikutan itu, AJK masjid segera bertindak mengepung mereka sebelum kedua-dua suspek melarikan diri ke arah pintu pagar masjid di kawasan tanah perkuburan di situ tetapi berjaya diberkas oleh AJK masjid terbabit dan pihak polis tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, soal siasat terhadap kedua-dua suspek mengaku menggunakan lidi yang disapu gam untuk `memancing’ duit yang berada di dalam tabung derma masjid.

“Dalam kes ini, pihak polis merampas sebilah lidi, sehelai kertas pelekat lalat, sehelai seluar denim dan wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM80.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu, turut melakukan kegiatan sama di beberapa buah masjid lain di daerah Kerian,” katanya.

Menurut Omar Bakhtiar, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam rumah kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 1:29 PM