ISMAIL Haniyeh. FOTO REUTERS
ISMAIL Haniyeh. FOTO REUTERS
Bernama-Anadolu

Gaza: Ketua Hamas Ismail Haniyeh berkata pada Khamis bahawa delegasinya akan ke Mesir dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan secara tidak langsung dengan Israel untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Ini adalah hasil perbualan telefon antara Haniyeh dengan Ketua Perisikan Mesir Abbas Kamel.

Menurut kenyataan Hamas, Haniyeh memberitahu Kamel bahawa satu delegasi kumpulan itu akan kembali ke Mesir dalam masa terdekat untuk meneruskan perbincangan bagi mencapai satu persetujuan untuk memenuhi permintaan rakyat Palestin dan menghentikan serangan.

Perbincangan secara tidak langsung antara Israel dan Hamas berlangsung di Mesir dan Qatar menyasarkan persetujuan yang merangkumi pertukaran tawanan dengan tahanan Israel akan dilepaskan dengan pembebasan warga Palestin daripada penjara Israel.

Tel Aviv percaya lebih 130 warga Israel ditahan di Gaza sementara Israel menahan kira-kira 9,100 warga Palestin di dalam penjaranya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata pada Isnin Israel memberikan Hamas satu tawaran yang "baik" supaya membebaskan tahanan Israel yang akan membawa kepada satu gencatan senjata di Gaza.

Tawaran terbaharu itu termasuk kesediaan Israel untuk membincangkan "pemulihan kembali ketenangan berpanjangan" di Gaza selepas pembebasan awal tahanan atas dasar kemanusiaan, dua pegawai Israel memberitahu laman sesawang berita Axios.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 8:19 AM