RAKAMAN CCTV Masjid Hidayatul Ummah menunjukkan kelibat suspek. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV Masjid Hidayatul Ummah menunjukkan kelibat suspek. FOTO ihsan polis
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


POLIS memburu seorang lelaki yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sedang mencuri duit tabung Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, 18 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kejadian 9.53 pagi itu disedari pengurusan masjid selepas mendapati wang dalam tabung di ruangan solat wanita hilang pada 7.30 malam hari sama.

Menurutnya, menyedari hal itu, satu laporan polis dibuat pada 19 Disember lalu dan semakan rakaman CCTV menunjukkan kelibat suspek melakukan jenayah itu selain terdapat wang yang turut hilang pada tiga lagi tabung di masjid berkenaan membabitkan kerugian RM1,000.

“Rakaman CCTV mendapati suspek yang datang dari arah pekan Kuala Kangsar memasuki kawasan masjid menaiki motosikal berwarna biru sebelum masuk ke ruang solat utama melalui pintu yang tidak berkunci di bahagian tempat mengambil wuduk.

“Suspek mencuri wang tabung dengan cara merenggangkan kunci tabung selain menggunakan sejenis alat untuk ‘memancing’ duit dalam tiga lagi tabung lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali berkata, bagaimanapun ujian cap jari ke atas tabung derma berkenaan gagal mengesan cap jari suspek secara sempurna.

“Kali terakhir wang tabung masjid dipungut adalah pada petang 13 Disember lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, rakaman CCTV menunjukkan suspek memakai baju kuning dengan berseluar jeans biru tanpa penutup muka.

Razali berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek diminta berhubung dengan polis bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 1:54 PM