Nor 'Asyikin Mat Hayin


Banyak cabaran dilalui doktor wanita ini sebelum bergelar pakar klinikal onkologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 2017.

Pengorbanan yang terpaksa dilakukan juga besar demi memenuhi tuntutan sepanjang empat tahun menjalani latihan kepakaran berkenaan.

Selain itu wanita ini turut menggalas empat tanggungjawab berat dalam satu masa dan ia bukan tugas yang mudah kerana ada rintangannya tersendiri.

Namun, jerih perihnya berakhir dengan kemanisan apabila impian itu berjaya dicapai membuktikan beliau adalah wanita hebat.

Dr Khairiyah Sidek, 41, berkata, beliau menceburi bidang itu kerana didorong sifat ingin tahu yang tinggi terhadap penyakit kanser.

Ia termasuk mengapa penyakit dan rawatan kanser sangat kompleks serta ramai pesakit meninggal dunia?

Menurutnya, ketika latihan kepakaran beliau mempelajari pelbagai jenis penyakit kanser kerana setiap bahagian badan manusia boleh diserang kanser berlainan dan perkara itu tidak diketahui umum.

"Saya turut mempelajari rawatan paliatif bagi pesakit yang sudah tidak boleh dirawat. Perkhidmatan ini adalah pendekatan perubatan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka berdepan penyakit yang mengancam nyawa.

"Tugas sebagai pakar klinikal onkologi sangat mencabar kerana bidang ini tiada pendedahan awal ketika pengajian peringkat ijazah sarjana muda perubatan dan ilmunya juga terhad.

"Tetapi saya banyak mempelajari ilmu ini apabila menjadi pakar klinikal onkologi dan 'menggali' pelbagai ilmu baharu diperoleh setiap hari," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, perjalanannya sepanjang empat tahun latihan kepakaran menjadi kenangan indah dalam hidupnya, meskipun ada kalanya fasa dilaluinya umpama 'roller coaster.'

"Saya perlu mempelajari banyak perkara berkaitan kanser dalam tempoh yang singkat dan wajib lulus peperiksaan.

PERBINCANGAN mengenai rawatan lanjut pesakit kanser.
PERBINCANGAN mengenai rawatan lanjut pesakit kanser.

"Tekanan sangat tinggi kerana selain menjalani latihan, saya juga perlu bekerja, tugas 'on-call' dan tanggungjawab kepada keluarga.

"Sistem sokongan yang baik amat diperlukan daripada keluarga, suami, ibu bapa, mentua dan rakan-rakan. Tanpa semua ini perjalanan itu boleh terganggu serta berasa 'down," katanya.

Katanya, iltizam, kesungguhan, kesabaran dan tekad menjadi kunci kepada kejayaan itu.

Menceritakan antara pengalaman sukar dilupakan katanya, terlalu banyak perkara dilaluinya apabila memasuki dunia perubatan itu terutama bertugas sebagai pakar klinikal onkologi.

"Hingga kini saya masih menerima kes penyakit kanser tahap akhir. Pesakit datang ke hospital dalam keadaan sudah teruk. Ada kansernya besar, sudah pecah dan berulat.

"Saya kongsikan pengalaman seorang pesakit warga emas mengalami kanser submandibular.

"Kanser sebelah pipinya bukan sahaja sangat besar tetapi sudah berulat dan untuk saya membersihkan luka di bahagian kanser ini memerlukan saya membuang puluhan ulat," katanya.

Katanya lagi, ada juga pesakit kanser datang ke hospital dalam keadaan sudah lumpuh.

"Kejadian di depan mata seperti ini membuatkan saya merasakan pendedahan mengenai penyakit kanser kepada masyarakat belum menyeluruh.

PERSEDIAAN 'aksesori' untuk rawatan radioterapi mengikut jenis kanser.
PERSEDIAAN 'aksesori' untuk rawatan radioterapi mengikut jenis kanser.

"Pengalaman paling menyedihkan apabila ada pesakit ditinggalkan pasangan kerana penyakit dihidapinya.

"Ada pesakit kanser pangkal rahim ditinggalkan suami. Peringkat awal sakit ditemani suami dan anak-anak ke hospital," katanya.

Jelasnya, selepas itu kelihatan pesakit ke hospital bersendirian dengan wajah sugul dan tertekan.

"Lazimnya pesakit kanser tertekan kerana dibebani dengan masalah lain selain daripada penyakit ditanggung iaitu kewangan, majikan dan tiada sokongan keluarga.

"Masalah seperti ini menyebabkan pesakit tidak dapat ke hospital untuk rawatan lanjut dan menyebabkan keadaan kesihatan mereka semakin teruk," katanya.

Menyentuh perancangan masa depan Dr Khairiyah berkata, beliau berhasrat untuk mengikuti program latihan sub kepakaran yang berkemungkinan mengenai kanser bahagian leher dan kepala.

"Latihan ini boleh dijalani di dalam negara tetapi sebaiknya di luar negara. Terdapat juga latihan dalam tempoh jangka pendek.

"Namun begitu, tidak boleh melupakan tanggungjawab di hospital yang kekurangan pakar dan pesakit terlalu ramai.

"Saya perlu teliti dalam pemilihan latihan supaya pada masa sama tidak menjejaskan perkhidmatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:00 AM