ANTARA burung dilindungi yang dirampas hasil OBK membabitkan Perhilitan dan polis di Kuala Lumpur.
ANTARA burung dilindungi yang dirampas hasil OBK membabitkan Perhilitan dan polis di Kuala Lumpur.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Menjawat jawatan tinggi dalam syarikat swasta selain memperolehi gaji lumayan setiap bulan.

Anehnya pendapatan tinggi diperolehi masih tidak mencukupi apabila masih ada antara mereka dikesan menjalankan kegiatan menjual burung liar dilindungi secara haram.

Kegiatan jenayah pemerdagangan hidupan liar itu dikesan aktif dilakukan membabitkan beberapa individu yang aktif menjual hidupan liar melalui media sosial dan laman jual beli dalam talian.

Terbaru pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menyerbu kediaman mewah seorang lelaki tempatan yang dikesan menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu diketuai pegawai Perhilitan, Celescoriano Razond bersama empat anggota polis bahagian Perisikan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurutnya, dalam serbuan jam 10 malam kelmarin, pihak Perhilitan dan polis menyerbu satu unit kondominium mewah di ibu negara.

"Seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang juga pemilik kediaman ditahan untuk soal siasat.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa sangkar burung berisi burung Alexandre, burung Sun conure, burung Bayan, burung Love birds dan burung Indian Ringneck," katanya.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan hidupan liar berkenaan.

"Susulan itu suspek ditahan dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Semua burung liar dilindungi bernilai hampir RM40,000 itu dirampas Perhilitan," katanya.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mampu memperolehi pendapatan tinggi mencecah puluhan ribu ringgit hasil penjualan burung berkenaan melalui dalam talian.

Sementara itu dalam satu lagi operasi berasingan, kakitangan Perhilitan Perak dan Unit WCB (wildlife crime bureau) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah kediaman di Ipoh, Perak.

Dalam serbuan jam 7 malam, Rabu lalu, seorang lelaki tempatan berusia 20-an soal siasat sebelum anggota penguatkuasa menemui seekor burung hantu dan dua ekor burung helang dalam premis itu.

"Burung hantu dan burung helang itu dipercayai ditangkap secara salah dan mahu dijual kepada pelanggan yang berminat.

"Susulan itu semua burung itu disita dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk tindakan lanjut," katanya.

Kadir berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha bagi mengesan individu yang menjual hidupan liar dilindungi secara haram di dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:01 AM