AYATI al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup.
AYATI al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Islam mengajar umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada sesama Muslim atau bukan Islam dalam apa jua keadaan sekalipun.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran, firman Allah SWT: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh." (Surah Fussilat:33)

Merujuk laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan (2018), Syeikh Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah berkata, ketika menafsirkan ayat ini dengan menyatakan beberapa isi penting iaitu perkataan menyeru kepada mengesakan Allah dan taat kepada-Nya serta beribadah kepada-Nya. Selain itu, maksud beramal soleh adalah menunaikan segala yang difardukan oleh Allah SWT di samping menjauhkan segala yang diharamkan oleh-Nya. (Tafsir al-Munir, 228-229/24)

Namun, dalam era moden pada masa kini yang dipenuhi dengan teknologi, sosial media, dunia tanpa sempadan, mendedahkan keaiban seseorang menjadi satu fenomena negatif yang tular dan semakin berleluasa terutama berkaitan dengan mendedahkan keburukan individu, figura atau kelompok yang dikenali dalam masyarakat.

Dalam konteks berkaitan, kita perlu melihat bagaimana cara keaiban semakin menjadi satu isu yang serius dalam masyarakat masa kini, melalui ajaran al-Quran dan hadis Nabi SAW dapat memberikan panduan yang relevan dalam menghadapi fenomena ini.

Keaiban dalam konteks masa kini

Kita hidup dalam zaman di mana kemajuan teknologi memungkinkan informasi dan gambar serta tangkap layar melalui saluran komunikasi sosial untuk tersebar dengan cepat.

Namun, keberadaan media sosial memberikan platform bagi masyarakat untuk mendedahkan keaiban dengan lebih mudah.

Dari pelbagai skandal sosial, politik, cerita sensasi membabitkan individu terkenal hingga perilaku tidak bermoral menjadi sesuatu yang cukup memalukan dan menjelekkan.

Justeru, kita perlu mengambil ibrah dan pengajaran daripada al-Quran. Kitab suci kita secara tegas menyeru umatnya untuk menjauhi unsur keaiban dan melakukan amal yang baik dan makruf.

Dalam Surah Al-A'raf ayat 157, Allah berfirman: "Orang-orang yang mengikuti Rasul, yang nabiyang ummi yang mereka dapati tertulis di Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang munkar..."

Ayat ini menekankan pentingnya mentaati ajaran Rasulullah dan menjauhi segala bentuk keaiban dan keburukan.

Manakala, melalui hadis Nabi SAW juga memberikan panduan yang jelas dalam menghadapi serangan keaiban terhadap peribadi seseorang. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang melihat munkar maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, Nabi Muhammad SAW mengajarkan bahwa setiap individu memiliki tanggung jawab untuk melawan keaiban dengan cara yang beradab dan melalui saluran yang betul dan tidak menjurus kepada keseronokan mendedahkan keburukan orang lain, seolah-olah si pendedah sahaja yang sempurna dan tidak rasa bersalah pun dalam menyebarkan keaiban orang lain.

Tambahan pula, dalam sebuah hadis Nabi SAW memerintahkan kita supaya berkata benar atau diam.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW: "Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (Riwayat al-Bukhari (6018))

Di samping itu, Islam mencegah kita daripada mencela atau mengejek saudara kita dengan ucapan seperti fasiq atau kafir.

Daripada Abu Zar RA, dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (Riwayat al-Bukhari (6045))

Dalam situasi sama, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan. Tetapi, jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya maka ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah.

Selain itu, selagi mana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan dan kezaliman kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu. (Lihat: Fath al-Bari, 466/10)

Hal ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda : Maksudnya: "Dan barang siapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata wahai musuh Allah sedangkan tidak sedemikian melainkan perkataan tersebut akan kembali kepadanya." (Riwayat Muslim (112))

Kesimpulannya, mendedahkan keaiban seseorang menjadi fenomena yang semakin membarah dalam masyarakat masa kini, terutama dengan perkembangan teknologi dan media sosial. Ia seolah-olah menjadi satu keseronokan dan hobi menceritakan perihal keburukan orang lain walaupun individu yang dituduh dan diaibkan itu melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya.

Namun, ajaran al-Quran dan Hadis Nabi SAW memberikan panduan yang jelas dalam menghadapi keadaan ini.

Dengan menjauhi keaiban serta perbuatan keji dan berusaha untuk melakukan amal yang baik, umat Islam dapat menjadi ejen perubahan positif dalam masyarakat mereka.

Oleh itu, sebagai Muslim perlu bersifat dengan segala sifat yang mahmudah terpuji yang diajarkan oleh Allah SWT dan Nabi SAW dalam hadis.

Kita dilarang sekeras-kerasnya supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh saudara kita dengan perkataan atau apa jua bentuk keaiban di mana-mana saluran kecuali di mahkamah. Jangan kita sibuk mencari cacat celanya orang lain, sedangkan diri kita terpalit dengan banyak kelemahan dan pelbagai keburukan yang jika didedahkan nescaya kita akan berasa amat malu ntuk berhadapan dengan orang lain di dunia ini, apatah lagi akan menghadap Allah SWT di akhirat nanti.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 6:00 AM