SATYA Nadella menyampaikan ucap tama secara langsung di Build AI Day Malaysia. FOTO BERNAMA
SATYA Nadella menyampaikan ucap tama secara langsung di Build AI Day Malaysia. FOTO BERNAMA
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Microsoft menyasarkan lebih 200,000 rakyat Malaysia mendapat kemahiran kecerdasan buatan (AI) menjelang 2025, kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella.

Beliau berkata, zaman AI menuntut semua untuk menggunakan peluang yang ada bagi memacu ekonomi malah misi Microsoft adalah untuk memperkasakan setiap organisasi di Malaysia untuk meraih lebih banyak pencapaian.

Katanya, misi berkenaan adalah untuk memastikan modal insan di negara ini mendapat semua kemahiran yang tepat sama ada di sekolah rendah atau peringkat siswazah.

"Kita meletakkan sasaran untuk mencapai 2.5 juta orang di Asean mendapat kemahiran AI dan lebih 200,000 rakyat Malaysia mahir dalam AI menjelang 2025.

"Kami juga menyasarkan AI dijangka memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$155 bilion (RM738.68 bilion), dengan peningkatan lebih 14 peratus dalam semua sektor termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan tenaga," katanya ketika menyampaikan ucap tama secara langsung di Build AI Day Malaysia, semalam.

Nadella berkata, banyak organisasi di Malaysia sama ada dalam bidang pendidikan, perubatan, korporat dan sektor awam sudah mengguna pakai teknologi AI dan internet kebendaan (IoT) secara meluas.

"Banyak sektor sudah mentransformasikan operasi mereka menggunakan AI dan IoT bagi meningkatkan akses bukan sahaja pengguna. Justeru, adalah menjadi matlamat Microsoft untuk memastikan produk yang ditawarkan boleh dipercayai.

"AI berjaya mengurangkan sekatan kepada semua untuk mendapat kemahiran baharu dan meneroka pekerjaan baharu yang lebih kompleks.

"Saya percaya, AI memberi kita harapan kepada alatan dan teknologi untuk menjadikan kita semua lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai produk yang dibangunkan Microsoft iaitu GitHub, beliau menjelaskan, gergasi teknologi itu memiliki banyak pelanggan termasuk Petronas, AmBank Group telah mengguna pakai teknologi berkenaan untuk menjadi lebih cekap.

Di Malaysia, katanya, Microsoft memiliki lebih 600,000 pembangun perisian, dengan pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun menggunakan GitHub.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 8:18 AM