Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Lelaki cedera di tangan selepas diserang oleh jirannya akibat perselisihan faham di Kampung Kuala Garing Selatan, Rawang, di sini, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan pergaduhan antara jiran pada jam 7.20 malam.

Menurutnya, mangsa berusia 23 tahun pada mulanya dihubungi kakaknya berusia 43 tahun memaklumkan jiran mereka berusia 42 tahun membuat bising.

"Sebaik mangsa tiba berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak mengambil sebilah pisau dan menyerangnya menyebabkan tangan kiri tercedera.

"Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, polis kemudian menahan suspek pada 2.30 petang semalam dan merampas senjata tajam yang diubah suai suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Ahmad Fatrah Amirul di talian 013-3122600 atau 03- 61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:42 PM