KERETA Nissan Sentra yang terlanggar dinding tempat letak kenderaan di sebuah apartment di Desa Jaya. FOTO Ihsan Polis.
KERETA Nissan Sentra yang terlanggar dinding tempat letak kenderaan di sebuah apartment di Desa Jaya. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Warga emas cedera ringan selepas kenderaannya melanggar dinding tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Desa Jaya, di sini, Khamis lalu.

Kejadian berlaku pada 7.30 malam dipercayai berlaku akibat pedal minyak tersangkut pada karpet alas kaki menyebabkan kenderaan itu tidak dapat berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan lelaki warga emas berusia 67 tahun yang memandu kereta Nissan Sentra di kawasan letak kenderaan apartment terbabit.

"Bagaimanapun pemandu terbabit gagal memberhentikan keretanya kerana pedal minyak tersangkut pada karpet alas kaki dan melanggar dinding tempat letak kenderaan itu.

"Pemandu terbabit mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104 atau di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 9:58 PM