KEADAAN kereta Mazda 3 yang terbabit kemalangan dengan sebuah lori di KM436.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Rawang. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN kereta Mazda 3 yang terbabit kemalangan dengan sebuah lori di KM436.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Rawang. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dekat Rawang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemandu kereta Mazda 3 yang berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori berada di lorong kanan lebuh raya di arah Rawang menghala ke Sungai Buaya.

"Kereta dipandu mangsa kemudian melanggar bahagian belakang lori berkenaan yang dipandu lelaki berusia 60 tahun.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pembantu perubatan Hospital Sungai Buloh manakala pemandu lori cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 8:31 PM