GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan individu yang disyaki bermain mercun hingga menyebabkan dua mangsa cedera di Kampung Changkat, Gombak, di sini, pada 31 Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian yang tular sejak semalam memaparkan sekumpulan individu bermain mercun dengan menghalakan ke sebuah rumah.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12.05 tengah malam pada 31 Mac lalu menyebabkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 dan 24 tahun cedera di paha dan telinga," katanya dalam kenyataan.

Katanya, usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435/324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nur Atikah Adnan di talian 018-3648044 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 10:36 AM