GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Polis memburu suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Changkat, di sini dan melarikan barang berharga bernilai RM5,000, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghuni rumah pada petang kejadian.

"Pengadu mendakwa meninggalkan rumahnya pada jam 8 pagi dalam keadaan berkunci.

"Selepas pulang ke rumah pada jam 6.30 petang, pengadu mendapati jeriji pintu dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan umpil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pengadu di dalam rumah mendapati keadaan berselerak dan wang tunai serta barangan kemas hilang dengan anggaran kerugian RM5,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Ahmad Fatrah Amirul di talian 013-3122600 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 3:18 PM