PANDAK Ahmad. FOTO arkib NSTP
PANDAK Ahmad. FOTO arkib NSTP

Oleh Mohamed Farid Noh

[email protected]

Iskandar Puteri: Usul supaya Pulau Marambong dijadikan pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau sempadan perairan Malaysia-Singapura dengan lebih ketat akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata usul itu penting bagi membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan penuh sempadan perairan negara dari diceroboh dan diprovokasi pihak luar.

Katanya, langkah itu juga bagi memastikan kedaulatan negara terjamin di samping mengelakkan insiden provokasi pihak berkuasa jiran dan nelayan tempatan yang sering berlaku tidak berulang semula.

"Insiden nelayan dihalau Isnin lalu berlaku di perairan negara malah ia sudah disahkan Maritim Malaysia kepada saya, maka saya terkejut dengan penafian dibuat pihak berkuasa negara jiran semalam.

"Saya tidak akan memihak kepada nelayan tempatan jika terbukti mereka menceroboh perairan negara jiran. Namun hakikatnya dengan bukti yang ada serta pengesahan pihak penguatkuasaan negara, maka kita perlu bertegas mempertahankan hak serta rakyat negara ini daripada terus ditindas pihak luar di tanah air sendiri.

"Oleh itu, pada sidang DUN Johor bulan depan saya akan membawa usul khas supaya Pulau Marambong, di Selat Tebrau dijadikan pangkalan tetap Maritim Malaysia menjaga sempadan perairan dan kedaulatan negara.

"Usul khas itu termasuk perlunya pemetaan semula persempadanan perairan Singapura-Malaysia membabitkan perairan Johor khususnya Selat Tebrau dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) supaya kedaulatan negara tidak diperkotak-katik dengan rakyat terutama nelayan menjadi mangsanya," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

SPF dalam kenyataannya berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Selasa lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Link Kedua di sini itu, sebuah bot berkuasa negara jiran itu didakwa tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Insiden sama turut dilaporkan berlaku pada 24 Oktober tahun lalu, apabila sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:57 PM