PEGAWAI dari Pasukan Polis Singapura (gambar kiri) dan Agensi Polis Kebangsaan Korea (gambar kanan) membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak semasa operasi penguatkuasaan antara 26 Februari hingga 29 Mac. FOTO Agensi SPF/KNPA
PEGAWAI dari Pasukan Polis Singapura (gambar kiri) dan Agensi Polis Kebangsaan Korea (gambar kanan) membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak semasa operasi penguatkuasaan antara 26 Februari hingga 29 Mac. FOTO Agensi SPF/KNPA
Agensi

Singapura: Polis di Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan menahan 272 suspek dalam operasi bersama menyasarkan penyelesaian kes pornografi kanak-kanak dan eksploitasi seksual.

Channel News Asia melaporkan suspek berusia antara 12 dan 73 tahun ditahan dalam operasi selama lima minggu dari 26 Februari hingga 29 Mac lalu yang mana pihak berkuasa itu menyerbu sejumlah 236 lokasi.

Di Singapura, 28 orang ditahan atas pelbagai dakwaan kesalahan seperti mengedar material penderaan kanak-kanak, komunikasi seksual dengan kanak-kanak bawah umur dan penjualan bahan lucah.

Suspek berusia antara 18 dan 59 tahun, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

SPF berkata, antara yang ditahan ialah seorang penjual dan tujuh pembeli material penderaan kanak-kanak di Singapura.

"Siasatan awal mendedahkan beberapa lelaki memperoleh material penderaan kanak-kanak melalui platform pemesejan.

"Puluhan alat elektronik dirampas di 44 lokasi di Singapura termasuk 50 komputer, 39 telefon bimbit dan 91 peranti storan," tambah SPF.

Sembilan daripada mereka yang ditangkap sudah dirujuk kepada Skim Bantuan dan Rujukan Komuniti Pasukan Rumah (HT CARES).

Skim itu diperkenalkan untuk membantu mengenal pasti isu yang mungkin membawa pesalah kepada jenayah dan merujuk mereka kepada agensi yang sesuai untuk mendapatkan bantuan jika perlu.

Pekerja sosial akan menilai sama ada campur tangan sosial seperti kaunseling, bantuan kesihatan mental dan sokongan kewangan diperlukan.

Mengulas lanjut, SPF berkata 16 orang lagi berusia antara 22 dan 70 tahun yang ditahan sedang membantu siasatan polis.

Sementara itu di Hong Kong, 13 lelaki ditangkap dengan pegawai merampas 972 video lucah dan gambar yang memaparkan kanak-kanak.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Singapura Asisten Komisioner Yeo Yee Chuan berkata, jenayah terhadap kanak-kanak tidak boleh dibiarkan.

"Perkembangan Internet serta teknologi lain yang pesat membolehkan pengedaran bahan penderaan kanak-kanak berlaku dengan cepat, meluas dan tanpa identiti di seluruh dunia.

"Adalah penting bagi agensi penguatkuasaan undang-undang untuk terus mengambil tindakan tegas dan diselaraskan terhadap aktiviti eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, termasuk pemilikan dan pengedaran bahan penderaan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 10:46 AM