PANDAK Ahmad menunjukkan gambar dan video kejadian empat nelayan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PANDAK Ahmad menunjukkan gambar dan video kejadian empat nelayan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Empat nelayan tempatan mendakwa bot milik pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring ketika mereka sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau dekat sini, jam 7 pagi semalam.

Pada kejadian didakwa berlaku berhampiran jambatan Link Kedua itu, sebuah bot pihak berkuasa negara jiran didakwa tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, berkata, insiden itu mengingatkannya kepada kejadian yang mana dia dihalau selain dihamburkan dengan kata-kata kesat oleh pihak berkuasa negara itu pada Oktober tahun lalu.

"Tujuh jaring berkenaan sudah siap dipasang sebelum bot peronda pihak berkuasa negara terbabit tiba-tiba menghampiri dan melanggarnya.

"Walhal, petugas bot peronda itu nampak saya dan tiga nelayan sedang sibuk memasang jaring dan ia belum tenggelam lagi, tetapi bot itu terus melanggar jaring kami tanpa apa-apa amaran," katanya.

Menurut Faizan, jaring yang dipasang itu kemudian tersangkut pada tiga kipas bot pihak berkuasa terbabit sebelum ia ditunda masuk ke perairan negara jiran.

"Saya bertanya pada petugas bot negara jiran itu kenapa melanggar jaring itu kerana kami berada dalam perairan negara, namun kecewa apabila mereka hanya menyatakan tidak perasan jaring berkenaan, sebelum menundanya ke dalam perairan negara itu" katanya.

Faizan berkata demikian pada sidang media di Jeti Kampung Pendas, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.

Pada 24 Oktober tahun lalu, 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran jambatan Link Kedua.

Kejadian berlaku jam 5.30 petang apabila mereka dihalau dengan arahan diberi menerusi pembesar suara daripada bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara berbeza.

Dalam pada itu, Pandak berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak berkuasa negara jiran terbabit dan menyifatkannya sebagai provokasi bagi menakutkan nelayan tempatan selepas insiden sama pada Oktober tahun lalu.

"Apa yang dikesalkan adalah, kawasan nelayan itu ingin melabuhkan jaring masih dalam perairan negara, ia di Selat Tebrau. Sebaliknya, bot peronda terbabit sebenarnya menceroboh masuk ke sempadan negara.

"Kumpulan nelayan juga mempunyai bukti video yang mereka masih berada di kawasan sempadan negara, selain turut merekodkan kejadian provokasi pihak berkuasa negara jiran terhadap mereka.

"Saya minta pihak berkuasa negara, terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) supaya terus memantau perairan negara kerana jika ada pemantauan, mereka tidak berani masuk ke sempadan kita dan memprovokasi nelayan tempatan.

"Saya mencadangkan supaya Pulau Merambong di sempadan perairan negara dan jiran dijadikan pangkalan APMM atau pihak berkuasa Malaysia supaya kedaulatan negara dan sempadan kita tidak sewenang-wenang diceroboh pihak luar," katanya.

Pandak berkata, satu laporan polis juga dibuat kumpulan nelayan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 2:40 PM