WARIS mangsa nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina. FOTO Asyraf Hamzah
WARIS mangsa nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, pada 2.40 petang tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut mendoakan keluarga mangsa yang terbabit tabah menghadapi dugaan itu.

"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat di Elmina, Shah Alam petang tadi. Mendoakan semoga kesemua mereka tabah menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan semua ahli keluarga tabah dengan ujian itu.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah buat semua keluarga mangsa nahas pesawat yang terhempas di Elmina petang tadi. Semoga keluarga mangsa tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut termasuk seorang kenamaan dalam nahas pesawat itu.

Menurut Hussein, lapan daripada mereka ialah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi adalah orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:53 PM