GAMBAR kenangan Mohd Sharkar (kanan) bersama Johari. FOTO Ihsan FB Mohd Sharkar
GAMBAR kenangan Mohd Sharkar (kanan) bersama Johari. FOTO Ihsan FB Mohd Sharkar
Asrol Awang


Kuantan: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkongsi berita kematian Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat dekat Elmina, Shah Alam, Selangor, petang ini.

Beliau mendoakan semoga roh Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang dicucuri rahmat.

"Innalillahiwainnailaihirajiun, berita yang menyedihkan, YB Dato Seri Johari Harun, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Ketua Umno Bahagian Bentong dan Adun Pelangai sudah kembali ke rahmatullah terbabit di dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam.

"Semoga Roh Allahyarham dicucuri rahmat, Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan 10 individu maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat.

Dua lagi mangsa adalah orang awam yang menaiki sebuah kereta dan motosikal yang melalui jalan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, pesawat peribadi itu dari Langkawi dan dijangka mendarat pada jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum waktu mendarat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 6:53 PM