Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang hari ini.

Dalam kunjungan itu, Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang ke Rahmatullah.

"Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut catatan itu.

Dalam insiden pada Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas dan menyebabkan 10 individu maut, antaranya adalah Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.

Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 2:55 PM