AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah. FOTO Faiz Anuar
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah. FOTO Faiz Anuar
Raja Noraina Raja RahimMuhaamad Hafis NawawiMohd Haris Fadli Mohd FadzilRuwaida Md Zain dan Norzamira Che Noh dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pelangai, hari ini, mengadakan bacaan Yasin dan tahlil buat semua mangsa yang terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, pihak sekolah turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang juga Adun Pelangai serta semua mangsa.

"Nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam petang semalam amat mendukacitakan.

"Pada pagi ini, diadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil kepada arwah Datuk Seri Johari Harun dan sembilan lagi mangsa yang maut dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina.

"Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi. Semoga kesemua Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ahli keluarga tabah berdepan ujian yang amat berat ini," katanya.

Polis semalam mengesahkan 10 individu meninggal dunia dalam insiden pesawat ringan yang terhempas di Lebuhraya Guthrie di Elmina, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat jam 5.30 petang semalam, semua mangsa dipercayai berusia 40-an hingga 50-an yang lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat.

Katanya, dua lagi mangsa membabitkan pemandu sesebuah kereta dan penunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 12:36 PM