LOKASI kejadian pesawat ringan yang dalam perjalanan dari Langkawi menuju ke Subang terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina. FOTO Genes Gulitah
LOKASI kejadian pesawat ringan yang dalam perjalanan dari Langkawi menuju ke Subang terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina. FOTO Genes Gulitah
Asrol Awang


Kuantan: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat dekat Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

Beliau berkata, tindakan itu bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan.

"Innalillahiwainnalillahirajiun, dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya sudah dimaklumkan bahawa YB Dato Seri Johari Harun, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, adalah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, 2.45 petang tadi.

"Bagi pihak Kerajaan Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu.

"Sesungguhnya negeri Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini.

"Saya juga menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan.

"Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin, amin, Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:46 PM