RAZARUDIN. FOTO Arkib BERNAMA
RAZARUDIN. FOTO Arkib BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya di enam negeri, bulan depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, setiap pegawai dan anggota diingatkan bersikap profesional serta rasional ketika menjalankan tugas sepanjang pilihan raya negeri (PRN) itu.

Katanya, pasukan perlu bijak mengawal emosi ketika berhadapan sebaran insiden provokasi.

"Saya percaya seluruh petugas PDRM bersiap sedia sepenuhnya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk PRN kali ini.

"Dalam kita melaksanakan tugas yang diamanahkan, kesihatan dan keselamatan diri juga perlu diberi keutamaan.

"Pucuk pimpinan pasukan akan berusaha untuk memastikan kebajikan petugas PDRM sepanjang PRN kekal terjaga," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Seramai 9,600 pegawai dan anggota akan dihantar ke enam negeri terbabit bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon, hari pengundian awal pada 8 Ogos dan 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 9:33 AM